MAHASISWA mengejar CGPA!!!! KORANG KOWT???

Dalam meniti hari-hari sebagai seorang mahasiswa, kehidupan ini penuh dengan cabaran dan dugaan kerana mahasiswa adalah golongan berpendidikan tinggi harapan agama, bangsa dan negara. Tetapi, terdapat suatu persoalan yang menguji kemampuan kita, sekiranya kita ditanya bagaimanakah kita menilai kebijaksanaan seseorang terutamanya dengan sistem pendidikan di Malaysia kini? Adakah ijazah itu semata-mata datang daripada CGPA kita? Apakah jawapan yang akan anda berikan? 
Sememangnya soalan ini nampak tidak ada sesuatupun yang mencabar tentangnya, oleh itu mari kita fikirkan dengan situasi berikut. Mahasiswa A mendapat gred A (4.00) dalam kertas Pengajian Islamnya, manakala Mahasiswa B hanya mendapat gred B (3.00) untuk kertas yang sama. Tambahan lagi, rakan sebilik Mahasiswa A memberitahu bahawa rakannya tidak pernah membaca Al-Quran sekalipun dalam subjek Pengajian Islam itu sudah tentu diselitkan tentang Al-Quran sebagai sumber hukum dalam Islam. Manakala rakan sebilik Mahasiswa B memberitahu, dia tidak pernah lekang mendengar bacaan Al-Quran sahabatnya itu. Maka apakah pendirian kita yang akan menjawab persoalan yang ditimbulkan di atas?
Dalam mendapatkan jawapan, penulis pernah menerima jawapan bahawa Mahasiswa A itu sudah pasti lebih baik kerana beliau seorang yang bijak, mampu menjawab soalan peperiksaan dengan baik. Sungguhpun beliau tidak pernah beramal dengan ilmunya? Penjawab soalan itu menyambung lagi, kita perlulah melihat pada sistem pendidikan kita yang sangat mementingkan meritokrasi. Lebih baik dapat gred A daripada dapat gred B. Kalau hendak bekerja nanti, majikan tentu akan melihat CGPA kita dahulu dan sudah pasti Mahasiswa A itu akan mudah dapat pekerjaan. Betulkah penyataan ini? Yang pernah penulis dengar dalam beberapa ceramah, CGPA adalah sesuatu yang terkemudian dinilai. Sejauh mana kebenarannya, Allah lebih mengetahui. Tetapi apa yang penulis ingin sampaikan di sini, cukupkah kita sekadar melihat pada CGPA hasil penyemakan oleh seorang pensyarah yang dijawab dalam masa tiga jam itu?
Tidakkah kita terasa terpanggil untuk menilai sejauh mana pengamalan terhadap ilmu tersebut? Jika tidak, maka kita sebenarnya telah terdoktrin dengan sistem sekularisme Barat yang telah lama menyelinap dalam pemikiran kita. Hal ini kerana, kita telah dilatih untuk merasakan bahawa CGPA adalah penentu segala-galanya. Kita tidak mampu untuk sensitif terhadap pengamalan ilmu yang kita dapat itu. Penulis ingin membetulkan pemikiran kita yang sekular ini. Sekularisme ditakrifkan juga sebagai pemisahan secara mutlak antara ilmu pengetahuan dengan pengaruh dan tuntutan agama.
Dengan yang demikian, kita lebih memandang kejayaan fizikal seseorang tanpa melihat langsung atau takut untuk melihat kejayaan spiritual yang seseorang itu perolehi. Pepatah Arab ada berkata, “ilmu tanpa amalan seperti pokok tanpa buah”. Oleh itu, apakah maknanya Islam mengajar kita supaya menghayati apa yang Allah akan tanyakan kepada kita pada Hari Perhitungan nanti? Dalam sebuah hadis, mafhum sabda Rasulullah s.a.w, diriwayatkan Mu'az bin Jabal :
“Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat hingga disoal empat perkara: tentang usianya pada apa dihabiskannya, tentang masa mudanya dan apa yang diperjuangkannya, mengenai hartanya dari mana datangnya dan ke mana telah dibelanjakannya dan tentang ilmunya apa yang telah dibuatnya.”
Justeru, yang manakah lebih penting, ilmu kerana manfaatnya atau ilmu kerana CGPAnya. Penulis berasa sangat kesal apabila penjawab soalan di atas itu memikirkan betapa pentingnya CGPA tanpa berfikir apa yang Islam telah anjurkan. Kita tidak seharusnya mengenepikan tuntutan agama dalam  kehidupan kita ini. Perkara ini yang menjadi propaganda Barat dalam menyelewengkan pemikiran umat Islam kerana mereka cemburu dan takut dengan kemajuan Islam. Yusuf Islam (Cat Stevens) pernah berkata, ‘budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’Maka, krisis identiti ilmu ini tidak lain hanyalah diwujudkan agar kekuatan Islam sebagai jalan hidup (ad-din) manusia menjadi rapuh!
Berbalik kepada situasi yang diberikan di atas, penulis tidak menolak Mahasiswa B gagal menunjukkan prestasi sebaik Mahasiswa A. Mungkin pentelaahan beliau tidak sesukses Mahasiswa A, mungkin juga Allah s.w.t telah menentukan sekadar itu sahaja rezeki beliau walaupun beliau berhempas-pulas untuk peperiksaannya. Kita tidak seharusnya menolak ujian yang Allah s.w.t berikan untuk menguji keimanan kita seperti dalam ayat:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” (Surah Al-‘Ankabut, 29: 2-3)
Barangkali, Mahasiswa A tadi hanya sekadar menghafal jawapan-jawapan yang mungkin ditanya dalam peperiksaan dan ia bukan datang daripada pemahaman dan pengamalannya terhadap ilmu Pengajian Islam tersebut. Hal ini kerana, ramai mahasiswa yang belajar secara menghafal kerana mereka sukar untuk memahaminya.
Mahukah kita menafikan lagi, penghayatan ilmu lebih penting daripada CGPA itu? Situasi yang dikemukan ini dalam konteks ilmu Pengajian Islam, belum lagi menyentuh ilmu sains fizik, teknologi, matematik dan sebagainya. Bagaimana ilmu tersebut dapat diamalkan? Tepuk dada, tanyalah sistem pendidikan kita. Adakah kita juga menyedari bahawa Allah s.w.t menilai setiap amal perbuatan kita dan kita bertanggungjawab ke atas ilmu kita? Jangan melihat sesuatu atas kepentingan tertentu, tetapi nilailah ia kerana Allah s.w.t. Ayuhlah, mahasiswa pejuang agama dan ilmu, ubahlah paradigma kalian!

No comments: