tanda cinta hamba kpd Allah..

Di antara tanda cinta hamba kepada Allah yang paling tinggi dan utama ialah kesediaannya untuk mengikut apa jua yang dibawa oleh Rasulullah SAW, samada berbentuk perkataan, perbuatan, akhlak dan mengasihi baginda SAW. Allah SWT berfirman
Maksudnya;
“ Katakanlah wahai Muhammad!, jika kamu benar-benar mengasihi Allah, maka ikutilah daku. Nescaya Allah akan mengasihimu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan ingatlah , Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
(Ali Imran : Ayat 31)

Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah hadis
Maksudnya;
“ Cintailah Allah kerana nikmat yang telah dikurniakan olehNya kepada kamu dan cintailah aku (Rasulullah SAW) kerana cintakan Allah, serta cintailah ahli kelurgaku kerana cintakan daku. (Riwayat Tirmizi)

Seorang ahli pujangga dan sasterawan Arab menyatakan;

“ Sekiranya mereka mendakwa bahawa mereka benar-benar cintakan Allah, Maka katakan kepada mereka bahawa: ‘Antara tanda cinta seseorang kepada Allah yang paling hebat ialah Dia menyintai kekasihNya (Rasulullah SAW),

2. Kecintaan hamba terhadap sifat-sifat Allah yang mulia. Rasulullah SAW telah mengutuskan seorang lelaki di kalangan sekumpulan tentera. Lelaki itu ditugaskan untuk menjadi imam solat dan dia diminta untuk membaca surah al-Ikhlas dalam setiap rakaat kedua solatnya. Apabila kumpulan tentera tersebut kembali ke Madinah, mereka telah mengadukan perkara tersebut kepada Rasulullah SAW. Lalu baginda menyatakan :

“ Tanyalah kepada lelaki tersebut mengapakah beliau berbuat demikian?”.

Lalu mereka menemui lelaki tersebut dan bertanya kepadanya mengenai perkara tersebut. Lelaki itu menjawab:
“Aku suka membaca surah al-Ikhlas tersebut” (kerana di dalamnya banyak memaparkan sifat-sifat Allah).

Apabila para sahabat memberitahu Rasululah tentang jawapan lelaki tersebut, maka Rasulullah bersabda:

“ Beritahu lelaki tersebut bahawa Allah mengasihinya.”

3. Kesukaan dan keasyikan hamba dalam mengingati Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW; Maksudnya;
“ Tanda cintakan Allah ialah mengingati Allah (zukrullah) dan tanda Allah murka kepada hambaNya ialah apabila dia tidak suka (benci) untuk mengingati Allah.”
(Riwayat al-Baihaqi)

4. Sukakan pertemuan dengan Allah. Di dalam salah satu hadis Qudsi Allah menyatakan bahawa;
Maksudnya;
“Apabila seorang hamba suka untuk menemui Aku, maka Aku akan suka untuk menemuinya dan apabila dia benci untuk menemui Aku, maka Aku juga benci untuk menemuinya.” (Riwayat Bukhari)

Namun begitu Allah telah memberikan syarat kepada mana-mana hamba yang ingin menemuinya berdasarkan firmanNya;

Maksudnya:
“ Barangsiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Tuhannnya, maka hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan Allah dengan sesiapa juapun sewaktu dia melakukan amal ibadah tersebut.” (Al-Kahfi : 110)

No comments: