cinta hakiki

MENCARI CINTA HAKIKICINTA adalah ibarat hembusan nafas untuk sebuah binaan kehidupan, demi menjana kebahagiaan di dunia, lantas menyumbangkan kerahmatan untuk hari akhirat. Sebaliknya, meninggalkan cinta membawa erti manusia sudah mensia-siakan nikmat pemberian dan anugerah Ilahi kerana cinta adalah sebahagian daripada naluri insani; ingin bercinta dan dicintai. Malah, seseorang insan amat memerlukan belaian cinta. Ini kerana tanpa kehadiran cinta, insan tidak mampu bermaya dan berdaya. Oleh itu, tidak ada manusia yang menolak penganugerahan cinta. Ibarat kata hukamak, “Cinta kepada harta ertinya bakhil, cinta kepada perempuan ertinya alam, cinta kepada diri ertinya bijaksana, cinta kepada mati ertinya hidup dan cinta kepada Tuhan ertinya takwa (yakni takut).” Justeru, alangkah baiknya jika benih-benih cinta itu tumbuh subur mengikut kewajarannya dengan mengutamakan wahyu dan tidak mengkesampingkannya malahan mendahulukan kewarasan akal tanpa mengikut pemuasan hawa nafsu sebagaimana telah disebutkan oleh Al-Farabi. Lantaran itu, cinta yang abadi, kekal, sejati dan hakiki adalah cinta kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, cintakan Allah dan cinta hanya untuk Allah. Mengapakah perlunya kita cintakan Allah? Cinta hanya untuk Allah dan tidak pula pada yang lain? Tidakkah pula kita pernah bertanya pada diri sendiri, siapa yang memberikan cinta kepada insan, menghidupkan insan dengan bingkisan cinta dan menjadikan insan bermakna dengan cinta? Jika kita berjaya menemui kebenarannya, barulah kita akan mendapat jawapan kenapa cinta yang hakiki hanya untuk Allah dan tidak untuk yang lain, dan kenapa segala-galanya perlu kita lakukan demi sebuah ‘Cinta Agung’. Ini kerana, Allahlah yang memberikan kita cinta, membahagiakan kita dengan cinta, memberikan ketenangan dengan cinta, mengembalikan keyakinan dengan cinta, bahkan kehidupan ini dipenuhi dengan bunga-bunga cinta. Oleh itu, Dialah yang berhak menerima cinta kita dan kita pula berhak mengembalikan tanda cinta kepada-Nya. Adakah yang lain (waimma manusia dan alam) tidak memerlukan cinta kita dan tidak perlu menantikan saat-saat kehadirannya? Adakah cinta kita tidak bermakna untuk mereka? Bukankah mereka juga sedang menagih cinta kita, ingin merasai sentuhan dan belaian cinta kita? Sanggupkah kita melihat mereka merana dengan penantian episod tragis kisah cinta? Tidakkah kita sudah bersikap pentingkan diri, kejam dan zalim jika berbuat demikian? Bukankah cinta itu dikurniakan untuk alam dan kehidupan? Jika persoalan ini yang kita timbulkan, jangan pula kita melupakan persoalan lain. Tidakkah pernah kita bertanya ataupun sudah lupa untuk bertanya, mengapa perlu aku memberikan cinta pada yang lain sedangkan cinta Allah aku kesampingkan? Adakah itu tidak dinamakan pentingkan diri, kejam dan zalim? Kenapa perlu aku tunaikan janji cinta pada yang lain, sedangkan aku tidak tahu sama sekali, adakah ia sebuah cinta yang hakiki ataupun tidak? Mengapa perlu aku bermati-matian untuk sebuah cinta yang lain, sedangkan amanah-Nya, suruhan-Nya, larangan-Nya, permintaan-Nya, kurniaan-Nya dan keredaan-Nya aku abaikan, cuaikan, bahkan seolah-olah DIA tidak pernah wujud dalam diari kehidupan insani. Sudahkah kita tunai dan laksanakan pertanyaan-pertanyaan ini? Apakah sudah mencapai maksud dan kehendak ‘Cinta Agung’? Jika jawapannya ialah sudah memenuhi cinta Allah, maka teruskanlah mencari cinta yang lain, memberikan cinta dan mengharapkan cinta daripada yang lain. Namun, jangan kita lupa sama sekali bahawa hakikat cinta adalah Allah Subhanahu wa Ta’ala dan kemuncak cinta adalah keredhaan-Nya. Oleh itu, cinta kita kepada yang lain mestilah berlandaskan kecintaan kepada Allah dan keredhaan-Nya. Jika inilah yang kita lakukan dan laksanakan sepenuhnya, maka kecintaan kita tidak akan membinasakan diri dan yang lain, menyimpang daripada kebenaran lantas terjerumus ke lembah kehinaan, kemaksiatan dan kederhakaan. Sekiranya jawapan kita adalah sebaliknya, bagaimana pula kita hendak mencintai yang lain, sedangkan kecintaan kepada Allah Ta’ala belum ditunaikan dan dilaksanakan lagi? Adakah akan terjamin nanti cinta kita kepada yang lain tanpa didahului cinta kepada Allah? Apakah kesudahan cinta kita kelak, tanpa setulus cinta kepada Allah? Memang benarlah apa yang pernah diungkapkan oleh penyair: “Demi Allah, demi Tuhan-ku, dusta aku dalam kata-ku, mengaku dekat bagai terpaku, kepada Allah penguasa-Ku. Segala mudah aku rasakan, taat dan cinta aku ucapkan, isi maknanya aku tinggalkan, mulut menyebut hati mungkirkan. Di akhir malam yang masih kelam, di waktu tenang seisi alam, aku terbaring di atas tilam bagaikan batu di lumpur dalam. Lain halnya si burung murai, memekik, menangis berderai-derai. Jika mulut dan hati tidak bercerai, masakan kalah oleh burung murai.” Itulah watak sebenar kita selaku insan, memang mudah mengungkapkan bicara tetapi amat sukar untuk mengotakan kata-kata, bahkan kita dustakan ikrar setia. Mulut hanya tahu menyebut sedangkan hati mungkirkan. Segala-galanya kita anggap mudah, tetapi ketaatan, kesetiaan dan kecintaan hanya mainan ucapan, sedangkan pengertiannya kita lupakan. Kita mengaku hampir serta dekat ke hadrat Tuhan, malah sebenarnya kita masih jauh dengan-Nya, bahkan amat jauh. Adakah pernah kita merasai cinta Allah sebagaimana cintanya para Nabi-Nabi Allah, para Aulia Allah dan para salafussoleh? Jawapannya tentulah tidak sama kita berbanding mereka, bagaikan langit dengan bumi jika diibaratkan. Namun peribadi itulah yang perlu kita teladani, susuri di setiap perjalanan mereka menuju Ilahi. Abu Bakar Asy-Syibli rahimahulLahu ‘anhu pernah berkata: “Apabila kamu telah mencicipi manisnya dekat dengan Allah, nescaya kamu akan mengetahui tentang pahitnya putus hubungan.” Maksudnya, apabila insan sudah merasai betapa nikmatnya diri dengan Allah Ta’ala, maka jiwa akan merasakan betapa pahitnya jika berjauhan dari-Nya. Inilah apa yang dirasakan oleh Aulia Allah dan para Arifbillah apabila berjauhan dan merindui Allah. Begitulah juga dengan ungkapan para Aulia Allah: “Sesiapa yang beramal untuk akhiratnya, maka Allah Ta’ala akan mencukupi agama dan dunianya. Sesiapa membina batiniahnya, nescaya Allah Ta’ala akan menyempurnakan lahiriahnya. Dan sesiapa yang memperbaiki hubungan dirinya dengan Allah Ta’ala, maka Allah Ta’ala akan memperbaiki hubungannya dengan sesama manusia.” Wallahu a’lam.

No comments: